Ulasan Zamri Mohamad Mengenai Forum Realiti Bisnes Malaysia

July 22, 2008

Forum Realiti Bisnes Malaysia bercerita mengenai realiti. Perubahan yang perlu dibuat bagi memastikan usahawan berkualiti dapat dihasilkan. Rata-rata peserta forum berpuas hati dengan penganjuran persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan apabila menghimpunkan tiga panelis pelbagai bangsa bagi bercerita mengenai dunia bisnes dari perspektif formula bangsa.

forumbisnes11.jpg

” Di negara Cina pertumbuhan ekonomi meningkat sebanyak 15 peratus. Manakala Malaysia sekitar tiga peratus. Mempelajari budaya bisnes bangsa Cina sudah lama digalakkan malah dalam sejarah Islam, orang Islam digalakkan mempelajari beberapa ilmu penting. Pertama, kaedah membuat kertas menggantikan kaedah menulis atas pelepah tamar. Kedua, penghasilan sutera bagi digunakan membalut pedang. Ketiga mempelajari penghasilan tembikar bagi menggantikan bekas air daripada gangsa,” bicara Tuan Ann Wan Seng membuka Forum Realiti Bisnes Malaysia di Bilik Persidangan, CAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ann yang juga penulis best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina, konsep survival yang diajar dalam masyarakat Cina menjadikan mereka hidup di mana-mana ceruk dunia.

Tuan Muhammad Faisal Sharbuddin menerangkan peranana ibadah dan bisnes yang jelas kelihatan dalam amalan perniagaan India Muslim. Penulis Buku Rahsia Bisnes Mamak ini melihat kebanyakan program bisnes yang dianjurkan oleh badan belia tidak begitu mencapai sasaran. Ini kerana mesej persuasif yang digunakan bagi menambah bilang peserta lebih menekankan kepada kepuasan jangka pendek.

forumbisnes12.jpg

“Para peserta dijemput dengan ajakan adanya makanan percuma, tempat tinggal yang selesa dan sijil penyertaan bagi mereka yang mendaftar. Ini menjadikan kursus bisnes yang ditaja oleh agensi lantikan tidak menghasikan usahawan-usahawan sebenar,” jelas Faisal.

Bagi Tuan Fauzul, “Pemilihan penceramah dan pembimbing kursus bisnes tajaan kerajaan perlu dikaji semula. Kesannya tidak seperti diharapkan apabila penceramah terdiri daripada kakitangan agensi dan bukannya usahawan atau peniaga sebenar. Kesannya mereka tidak menceritakan realiti bisnes kerana mereka sendiri tidak bermula dari bawah dalam dunia bisnes.”

Beliau menekankan beberapa mitos dalam dunia bisnes Melayu.

  1. Bisnes perlu rasuah jika mahu berkembang.
  2. Bisnes perlu ada orang politik untuk berjaya.
  3. Bangsa Cina tidak akan membantu orang Melayu.
  4. Mahu buka bisnes perlu cari pengalaman dahulu sebelum berniaga.
  5. Sudah jadi takdir orang Melayu tidak boleh berniaga dan bersaing
  6. Mahu berjaya dalam bisnes perlu kedekut ilmu.

Orang Melayu usah menjadi seperti jin dalam dunia bisnes. Maksudnya, berdampingan dengan orang tertentu untuk menjalankan bisnes. Sikap berdampingan dengan orang lain sebagai tuan (ahli politik) tidak ubah seperti jin yang berdampingan. Apabila tuan mati, maka jin akan mencari tuan yang baru. Amalan ini mesti ditolak jauh-jauh.

Bangsa Melayu mempunyai kemampuan bisnes kerana sejarah membuktikan kemampuan orang Melayu mengurus bisnes berisiko tinggi seperti pengurusan pelabuhan dan perdagangan sebelum berlakunya penjajahan pertama bangsa asing. Kemampuan bangsa Melayu dalam dunia bisnes secara langsung mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa bisnes yang wajib dipelajari oleh peniaga-peniaga lain. Kelebihan peniaga Melayu hanya dicatat oleh orang-orang asing.

Selepas penjajahan berlaku apa yang disebut sebagai 100 tahun tempoh senyap apabila tidak ada rekod mengenai perkembangan orang Melayu. Apa yang berlaku sepanjang tempoh senyap itu adalah hikayat-hikayat yang menunjukkan sisi negatif orang Melayu. Antaranya watak Pak Pandir, Lebai Malang dan Mat Jenin yang tidak kesampaian angan-angannya.

Tambah Tuan Fauzul, “Angan-angan yang disekat dalam cerita Mat Jenin adalah pemprograman minda agar jangan berani berangan-angan mencapai sesuatu yang terbaik dalam hidup dan bisnes.”

“Semua bangsa ada yang menipu dalam bisnes, tetapi penipuan dalam bisnes adalah keuntungan bersifat sementara,” jelas Tuan Ann.

Pendidikan dalam keluarga bangsa Melayu perlu diubah agar lebih bersedia dengan cabaran dan survival. Tuan Ann yang menjalankan kajia sosiobudaya masyarakat Melayu mendapati kesan didikan yang tidak diubah dapat dilihat dengan gejala histeria dan latah dalam masyarakat Melayu berbanding Cina.

“Histeria kesan daripada lemah semangat terhadap sesuatu. Selalu benar ia terjadi di kalangan pelajar Melayu, tidak pernah pula dengar ia terjadi di sekolah Cina. Latah pula adalah letusan daripada perasaan yang tidak diluahkan ketika kecil hingga tua. Kesannya menjadi ‘terlebih’ semangat pula. Maka, proses pendidikan dalam keluarga perlu menekankan kepada asas didikan yang menguatkan semangat dan memberanikan mereka membentuk pandangan,” jelas Tuan Ann.

Survival masyarakat Cina berlaku di negara-negara Afrika. Kini, restoran Cina sudah berada di Kenya. Papua New Guine yang mempunyai masyarakat dengan 165 bahasa etnik pelbagai tidak menjadi masalah kepada masyarakat Cina membuka bisnes di sana.

“Orang Melayu tidak malas dan ini disanggah. Kualiti mereka sebagai nelayan dan petani yang lasak menguruskan keperluan kerja dapat diserapkan dalam budaya bisnes. Orang Melayu tidak perlu menjadi orang Cina untuk berjaya, bekerja seperti orang Cina pasti mereka akan berjaya dan kompetitif” sambung Tuan Ann.

Tuan Ann dan Tuan Faisal berkongsi pandangan yang sama pendidikan survival perlu diterapkan dalam masyarakat bisnes tempatan. Mereka perlu diajar bagaimana berhadapan dengan bantuan demi bantuan dalam sektor tertentu yang ditarik sedikit demi sedikit dalam jangka masa panjang. Budaya memberi terlalu banyak bantuan memberi keselesaan yang akan membuat para peniaga tidak bersedia dengan kejutan.

Masyarakat bisnes juga perlu diajar kaedah mengurus risiko. Usahasama tulin antara usahawan Melayu dan Cina dapat dilakukan apabila falsafah ’sin yung’ (percaya) dan ‘kuang si’ (ambil berat) menjadi teras kepada kerjasama sesama kaum.

“Usah mengali-baba peluang bisnes yang diterima. Ia adalah sandiwara bisnes yang mahukan untung atas angin. Tetapi apabila penerima sub-kontrak memperolehi untung lebih banyak berbanding penerima kontrak asal, timbul rasa tidak puas hati dan mula menuduh orang lain menipu,” ulas Tuan Ann.

Forum Realiti Bisnes Malaysia benar-benar menjadi satu wacana ilmu yang memprogram minda para peserta Melayu dalam budaya bisnes menurut acuan setiap bangsa.

Maklumat lanjut sila ke motivasimindamu.blogspot.com

Orangkah Yang Penyebab Kekalahan? Ataupun Diri Kita?

May 12, 2008

Dalam perjalanan pulang daripada Kuala Lumpur ke Bentong petang tadi, saya, isteri, anak dan Puan Zuzana (pekerja bahagian logistik PTS) mendengar berita disediakan oleh Radio 24. Sudah menjadi resam saya, Radio 24 menjadi halwa telinga dalam perjalanan pergi dan balik pejabat. Terutamanya perjalanan jauh melalui lebuh raya Karak. Mendengar berita bagi tidak terlepas maklumat terbaru hari ini. Banyak yang menarik, ada yang melucukan terutamanya mengenai sidang Dewan Rakyat. Semakin hari semakin panas. Ini satu perkembangan yang baik dalam politik negara.

Walaubagaimanapun yang tidak sedap apabila pengulas sukan Ibnu Khusyairi Aris yang berada di Indonesia diminta mengulas mengenai kekalahan skuad Piala Uber kita di tangan Denmark. Skuad piala uber memberikan harapan kepada negara apabila mereka berjaya mengalahkan New Zealand. Apabila ditanya oleh oleh pengulas sukan di Malaysia apakah penyebab kekalahan, beliau mengatakan penyebabnya adalah sokongan padu penyokong Indonesia kepada skuad Denmark penyebab utama kekalahan itu.

Pada pandangan peribadi saya, ini satu ulasan yang kurang matang. Bagaimana orang lain boleh menentukan kita kalah ataupun menang, menentukan kita gagal ataupun berjaya. Apabila kita gagal dalam peperiksaan, kita memberikan alasan bahawa suasana dewan peperiksaan yang menyebabkan kita tidak boleh berjaya. Adakah itu logik? Adakah dewan yang menjadi penyebab ataupun kita yang gagal bersedia. Adakah dewan boleh mempengaruhi takdir hidup kita? Jawapannya tentu tidak.

Kita penentu hala tuju hidup kita. Ini direalisasikan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan persediaan mantap. Apabila semuanya sudah dibuat baru kita berdoa dan menyerahkan semuanya kepada Allah Yang Maha Kuasa. Bukannya kita tidak bersedia dan berdoa. Saya tidak menafikan bahawa skuad kita sudah berusaha bersungguh-sungguh. Cuma barangkali usaha kita adalah kurang berbanding dengan usaha lawan kita. Kita perlu ingat kata-kata Saidina Ali K.W, batil yang berstrategi boleh memenangi makruf yang tidak berstrategi.

Jadi sebagai teguran kepada diri saya dan Anda. Orang lain tidak boleh menentukan gagal ataupun jayanya kita. Kitalah penentunya dan Allah yang mengkabulkannya. Ada KUASA dalam diri anda, keluarkanlah.

Kepimpinan Melalui Teladan, Keluar Daripada Kepompong Lama

May 9, 2008

Ramai orang mengatakan bahawa para pemimpin perlu ada prestij dan menjaga kredibiliti. Pendefinisian prestij dan kredibiliti di sini dilihat daripada cara berpakaian, cara hidup, cara bercakap, cara makan dan sebagainya. Pemimpin perlu dilihat lain daripada yang lain. Tidak boleh dilihat hidupnya sama sepertimana rakyat biasa, jika makan hanya di hotel-hotel, tidur kelas 5 bintang, naik kapal terbang kelas pertama dan sebagainya.

Saya mempunyai pengalaman melawat ke rumah beberapa pemimpin kerajaan terutamanya menteri kabinet. Kebanyakan rumah mereka boleh dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Kereta mercedez itu adalah wajib. Tidak ada nilai zuhud dalam kehidupan mereka ini.

Berbeza dengan beberapa pemimpin yang merendah diri. Hidup mereka sederhana, kadangkala lebih sederhana berbanding dengan rakyat yang lain.  Yang boleh diambil contoh adalah Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat dan YAB Lim Guan Eng. Saya bukan menyatakan saya ini penyokong pembangkang, namun begitu kehidupan mereka ini seharusnya menjadi contoh kepada pemimpin lain.

Apabila menteri kerajaan mengatakan berjimat cermat, rakyat perlu mengubah cara hidup. Namun begitu cara hidup mereka tetap mewah dan tidak ada tanda-tanda menunjukkan contoh jimat cermat yang baik. Berbeza dengan pemimping-pemimpin ini. Dalam menggalakkan jimat cermat, mereka ini memberikan contoh terbaik kepada rakyat. Barulah cakap serupa bikin.

Para pemimpin harus keluar daripada kepompong lama. Ubah Skrip Hidup bagi menjadi pemimpin cemerlang.

InsyaAllah Yang Disalah Gunakan

May 9, 2008

keluargadi91.jpgSemalam saya bertemu dengan seorang tokoh besar dalam dunia bisnes dan perkhidmatan awam iaitu Dato’ Pahamin Rajab di pejabatnya dalam kawasan Damansara Perdana. Dato’ Pahamin Rajab pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan & Hal Ehwal Pengguna dan sekarang menjadi Pengerusi kepada beberapa syarikat besar Malaysia antaranya adalah AirAsia Berhad dan FastFik Sdn Bhd.

Kesemua ini menjadikan beliau adalah seorang yang tidak boleh disangkal daripada sudut pemikiran dan kredibiliti yang ada pada beliau. Pada zaman beliau menjadi KSU, antara yang diusahakan oleh beliau adalah melawan korupsi dalam kementerian. Beliau terkenal dengan garangnya dan tidak bertoleransi dengan amanah. Mana-mana pegawai yang didapati tidak amanah akan dipanggil dan diberikan amaran oleh beliau. Ketegasan beliau mengenai perkara ini disebut-sebut oleh para pegawai yang pernah bekerja di bawah beliau.

Dalam perbincangan semalam, beliau ada menyebut mengenai salah guna perkataan InsyaAllah. Dalam masyarakat Melayu, perkataan InsyaAllah ini sudah menjadi satu perkataan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab dan komitmen. Apabila sesuatu perkara yang tidak pasti diucapkan InsyaAllah. Sedangkan sepatutnya perkataan InsyaAllah ini adalah satu perkataan komitmen dan perlu dipandang serius.

Apabila ini berlaku, perkataan yang mulia ini menjadi hina di atas sebab penyebutnya tidak menghormati perkataan ini. InsyaAllah adalah satu amanah dan kata janji kita dengan Allah bahawa kita berusaha menepati apa kata-kata yang dikeluarkan oleh kita. Kita harus ingat ayat yang dikatakan oleh Allah dalam Al-Quran :

Besarlah kemurkaan Allah ke atas orang yang tidak melakukan apa yang dia kata

Seharusnya kita perlu menukar persepsi ini. InsyaAllah adalah ayat-ayat komitmen dan seharusnya menjadi klausa melarikan diri dalam hidup kita.

Skrip Hidup Selari Dengan Takdir

April 2, 2008

Apabila menyebut mengenai skrip hidup, ramai yang terbayang tulisan skrip di dalam filem, teater dan sebagainya. Mereka membayangkan wujudnya pelakon, pengarah dan krew yang mengendalikan filem. Apabila kita membayangkan begitu, tentu ada yang bertanya kembali. Benarkah adanya skrip hidup? Siapakah pelakonnya? Siapakah pengarahnya? Siapakah krew-krewnya?

Read more

Soal Jawab Cinta : Betulkah Si Dia Jodoh Saya?

March 19, 2008

Daripada Ieza,

Saya sudah lama mengenali dengan jejaki ini

Namun begitu tidak pernah terlintas di hati untuk memiliki dirinya…

ada beberapa sebab yang membuatkan hati ini terbuka untuk si dia…Kepada orang lain semuanya sudah tertutup…kerana hanya dia seorang di hati ni…

Read more

Soal Jawab Cinta : Apa Perlu Saya Lakukan?

March 18, 2008

Daripada Sahabat Dr Cinta

Assalamualaikum.. saya ingin meminta pandangan dr yang berpengalaman..

saya sukakan seorang perempuan, akan tetapi dia tidak menyukai saya. namun begitu, dia baik dengan saya. seolah2 saya anggap dia pun menyukai saya. tapi, bila saya luahkan padanya isi hati saya.dia kata , dia tidak boleh menerima saya lebih dari seorang kawan.

Read more

Soal Jawab Cinta : Bantu Saya..Kesucian Cinta Tiada Tandingan

March 18, 2008

Daripada Srikandi

Sebagai manusia, kita semua tak dapat lari dari masalah..kan? Begitu juga saya..cuma masalah saya bab cinta..sebagai perempuan tentu orang akan kata kita ibarat perigi mencari timba..seperti hidung tak mancung, pp tersorong2..sakitnya mencintai orang yang tak mencintai kita..

Read more

Bagaimana Bagi Mengekalkan Keintiman dengan Pasangan Walaupun Tanpa Melakukan Hubungan Seksual

March 10, 2008

Artikel ini pernah diterbitkan dalam majalah Pa & Ma, terbitan Kumpulan Karangkraf 2007

Dalam hubungan suami isteri, persoalan seks adalah amat penting. Kepuasan dalam kehidupan seks menentukan rasa puas hati terutamanya kepada lelaki. Namun begitu harus difahami bahawa rasa puas hati dan kepuasan seks ini tidak berhubung kait dengan kekerapan membuat hubungan seks.

Read more

Mengapa Perlu Berpasangan Dan Berkahwin?

March 10, 2008

Dalam Islam, kehidupan bersendirian atau bujang tidak digalakkan disebabkan ia bukannya fitrah manusia. Fitrah berpasangan ini memang sudah  ditetapkan oleh Tuhan sejak mula-mula penciptan Adam dan Hawa lagi.

Read more

Next Page »